Lebih 200 orang terkorban tsunami Selat Sunda
  • 5 years ago
Tsunami yang berlaku di Selat Sunda tanpa disebabkan gempa bumi kini mengorbankan lebih 200 nyawa.

Berdasarkan data yang dikeluarkan Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia setakat 4 petang semalam, korban akibat tsunami itu kini seramai 222 orang, 843 cedera dan 28 dilaporkan masih hilang.

Menurut Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat, Sutopo Purwo Nugroho, sebanyak 556 unit rumah dilaporkan musnah, 9 unit hotel mengalami kerosakan teruk, 60 rumah kedai rosak, 350 kapal dan perahu musnah.

Katanya, tidak ada korban yang melibatkan warganegara asing, semuanya warga Indonesia.

Jumlah berkenaan dikhuatiri terus meningkat kerana pasukan mencari dan menyelamat masih belum dapat memasuki semua kawasan yang terjejas akibat tsunami itu.

Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika dalam satu kenyataan berkata tsunami yang berlaku jam 9.27 malam itu disebabkan gelombang kuat di perairan Selat Sunda dan berlakunya letusan di Gunung Anak Krakatau.

Badan meteorologi itu masih melakukan penyelidikan terperinci sebab berlakunya tsunami itu.

Tsunami itu dipercayai berlaku disebabkan pergerakan tanah di bawah dasar laut akibat letusan gunung Anak Krakatau yang disusuli dengan gombang air pasang serta gelombang kuat dan kombinasi itu menyebabkan tsunami berlaku secara tiba tiba.