Bung mohon maaf

  • 6 years ago
Anggota parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini membuat permohonan maaf atas perbuatannya menggunakan perkataan kurang sopan pada persidangan Dewan Rakyat, Ogos lalu.

Beliau mengakui perbuatannya itu sebagai 'unparliamentary' dan melanggar Peraturan Mesyuarat 36 (4).

"Saya amat kesal dengan ungkapan tersebut dan sesungguhnya saya dengan suci hati memohon maaf kepada Yang Dipertua dan kepada dewan yang mulia ini terutama sekali ahli-ahli Parlimen wanita," katanya selepas sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau turut memberi jaminan tidak mengulangi perbuatan tersebut pada masa depan.

Bung Moktar mengeluarkan perkataan tidak sopan 'f*** you!' ketika perbahasan Rang Undang-undang Cukai Jualan 2018 pada 7 Ogos lepas.

Permohonan maaf itu kemudian diterima Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin yang berharap kesemua anggota Parlimen dapat berbahas dengan berkualiti dalam usaha menjadikan Parlimen Malaysia berkelas dunia.

Zuraida, yang juga Anggota Parlimen Ampang, turut menarik kembali usul merujuk Bung Moktar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang terdapat pada aturan urusan mesyuarat pada hari ini.