PAS cabar calon PRK Seri Setia isytihar harta
  • 6 years ago
Dalam usaha menampilkan wakil rakyat yang bersih, PAS Selangor mencabar calon dalam pilihan raya kecil ini mengisytiharkan harta masing-masing.

Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, berkata pendirian itu diputuskan dalam mesyuarat di antara parti itu bersama Umno Selangor pada hari ini.

Katanya mesyuarat yang dihadiri pimpinan utama kedua-dua parti peringkat Selangor itu menegaskan, kedua-dua calon yang bertanding perlulah bebas daripada sebarang unsur salah laku atau penyelewengan.

“Kita cabar supaya Pakatan Harapan (HARAPAN) sama-sama isytiharkan harta kepada rakyat. Kita mahu buktikan calon yang bertanding benar-benar bersih.

“Dr Halimah akan mengumumkan hartanya, dan kita harap calon HARAPAN boleh lakukan perkara yang sama... kecualilah harta dia terlalu banyak hingga (ambil) masa berminggu untuk isytihar,” katanya pada sidang media di Bilik Operasi Induk PRK Seri Setia di Shah Alam di sini.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehin Mukhyi dan Ketua Pembangkang DUN Selangor, Rizam Ismail, selain beberapa pimpinan tertinggi kedua-dua parti.