Dr M: Kita tak cukup kuat nak damai perang dagang 'bodoh' AS-China

  • 6 years ago
Perang dagang Amerika Syarikat (AS) dan China mencetuskan kebimbangan kemelesetan ekonomi global tetapi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yakin terdapat peluang yang dapat dimanfaatkan.

Dalam wawancara bersama ThaiPBS yang menyentuh isu-isu antarabangsa, Dr Mahathir sedar perang dagang itu akan memberi kesan buruk kepada Malaysia namun beliau juga maklum terhadap kelebihannya.

"Terdapat juga faedah tertentu kerana kehilangan pasaran China oleh Amerika Syarikat bermakna beberapa peluang kepada kami.

"Ketidakupayaan Amerika Syarikat untuk menggunakan China sebagai pangkalan pembuatan juga boleh menyebabkan mereka beralih ke negara lain termasuk Malaysia," katanya dalam temu bual itu.

Bagaimanapun, Mahathir berkata Malaysia dan rakan-rakan Aseannya juga perlu menghadapi kesan negatif dan menyesuaikan diri dengan perubahan.

"Kami tidak cukup kuat untuk memberitahu sama ada China atau Amerika Syarikat untuk menghentikan perang perdagangan yang bodoh ini. (Perang dagang) ini tidak akan memberi manfaat kepada mereka.

"Kami perlu mencari jalan untuk menyesuaikan akibat perang perdagangan tersebut di rantau ini, supaya ekonomi kami tidak terjejas teruk," katanya.

Mahathir menamatkan lawatan lima hari ke China pada hari Selasa lalu. Selain daripada membincangkan penangguhan projek mega yang dibiayai oleh China, beliau berusaha menarik pelaburan China.