Hentikan fitnah, rayu Wan Maimunah
  • 6 years ago
Pelakon veteran Wan Maimunah merayu orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang berita fitnah mengenai dirinya selepas dia dimasukkan ke Hospital Alor Gajah, Melaka sejak Sabtu lalu.

Dalam nada sayu, Wan Maimunah - yang dimasukkan ke situ ekoran mengalami sesak nafas dan jangkitan kuman pada paru-paru - memohon pihak tidak bertanggungjawab segera menghentikan dakwaan menyatakan dia sudah meninggal dunia.

“Allah masih sayangkan saya. Allah masih bagi saya nyawa dan nafas kepada saya. Apa yang digembar gemburkan dalam YouTube, semua fitnah semata-mata,” katanya.

Dramatis itu tampil dalam sebuah klip video yang dikirimkan Presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave kepada Malaysiakini.

Wan Maimunah yang sering membahasakan dirinya “Ibu” itu berkata, penyebaran berita tidak sahih itu boleh mendatangkan kemudaratan bukan saja pada dirinya tetapi juga anggota keluarga.

“Kepada sesiapa yang suka membuat fitnah, tolonglah. Bukan menyusahkan saya, tetapi menyusahkan kaum keluarga dan semua orang.

“Anak saya jauh di luar negara, kalau dia dapat tahu macam mana? Talian telefon di hospital tidak berapa baik.

“Minta tolong, jangan suka buat fitnah kepada yang lain-lain. Menyusahkan orang lain,” katanya.
Recommended