KJ gesa HARAPAN bawa 'perompak GST' ke muka pengadilan
  • 6 years ago
Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) digesa membawa individu yang terlibat dalam dakwaan "merompak" bayaran balik GST ke muka pengadilan.

Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana pemimpin BN tidak boleh menerima dakwaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam sidang Dewan Rakyat semalam.

Kata Khairy, anggota parlimen Bagan itu juga dilihat gagal memberi jawapan secara tepat.

Tegas Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda Umno, perkataan 'rompakan' itu adalah tuduhan besar dan merupakan perbuatan jenayah.

Oleh itu, siasatan dalaman di Kementerian Kewangan sahaja tidak mencukupi, katanya.

Beliau berkata, atas sebab yang sama beliau telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Manakala satu laporan akan dibuat di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok.

Justeru, beliau berharap siasatan yang bakal dilakukan beberapa pihak berkuasa itu tidak diganggu.