Penganjur forum 'buku teks sejarah' selar laporan Utusan
  • 6 years ago
Penganjur sebuah forum yang membahaskan naratif dalam buku teks sejarah pada akhir Julai lalu menyelar laporan Utusan Malaysia yang mengambarkan forum dan ahli panel itu sebagai mengangkat perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM).

Salah seorang penganjur, Imran Rasid yang turut bertindak sebagai moderator pada forum itu berkata, laporan Utusan Malaysia selama tiga hari berturut-turut dengan tajuk 'Nilai Semula Sejarah, Iktiraf PKM', 'Wajarkah perjuangan PKM ditulis semula' dan 'Komunis Bukan Pejuang' sebagai sengaja mengundang kontroversi.

Forum bertajuk "Patutkah Kita Menulis Semula Buku Teks Sejarah Negara Kita?" yang diadakan di Kuala Lumpur itu menampil aktivis Fadiah Nadwa Fikri dan Fahmi Reza.

Ia diadakan bagi membincangkan naratif sejarah dari sudut pandangan alternatif ketika zaman darurat di Tanah Melayu.

Fadiah dan Fahmi bagaimanapun menafikan laporan akhbar berkenaan.

Fadiah yang juga seorang peguam menerusi catatan Facebook berkata beliau akan memfailkan saman terhadap akhbar itu.

"Saya membeli Utusan yang perkauman buat pertama kali hari ini kerana saya perlu mendokumentasikan pembohongan mereka yang jahat. Saya akan saman mereka kerana fitnah," katanya.

Sementara itu, Fahmi berkongsi klip video forum itu di laman Facebooknya dan meminta netizen sendiri membuat penilaian sama ada beliau merupakan "tali barut komunis".

"Aku dijemput oleh penganjur untuk mengulas mengenai topik ini dari sudut pandang seorang peminat sejarah yang pernah menerbitkan filem dokumentari sejarah bertajuk “10 Tahun Sebelum Merdeka” dan banyak membuat kajian mengenai sejarah perjuangan kemerdekaan dari perspektif sejarah alternatif," kata Fahmi di Facebooknya.

Selain Gerakbudaya forum itu turut dianjurkan oleh Amateur, Pusat Sejarah Rakyat, Civil Rights Committee of KLSCAH, Persatuan Persahabatan Berpasangan KL Selangor, Persatuan Persahabatan Abad ke-21, Imagined Malaysia, Malaysia Muda, Projek Dialog dan Students in Resistance.