Hari ini baru mereka bagi dokumen - Peguam Najib
  • 6 years ago
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata pihak pembelaan baru mendapat dokumen daripada pihak pendakwaan di mahkamah hari ini berhubung tuduhan terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menyalah guna wang yang dimasukkan ke akaun peribadinya daripada SRC International Sdn Bhd.

Terdahulu Najib hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta yang didakwa hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti salah itu atau RM5 juta atau yang mana yang lebih tinggi.
Recommended