Izzah tidak akan lepas 'cinta abadi' kepada Anwar
  • 6 years ago
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah menegaskan beliau tidak akan mengosongkan kerusi yang dianggap 'cinta abadi' beliau kepada bakal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada media di lobi Parlimen, Izzah berkata beliau komited untuk bekerja di Permatang Pauh dengan beberapa projek sudah dirangka untuk penduduk disana.

Terdahulu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau tidak akan melepaskan jawatannya dalam kabinet serta sebagai Anggota Parlimen Pandan, bagi memberi laluan kepada suaminya Anwar.

Tegasnya, beliau akan mengekalkan semua jawatan yang digalasnya walaupun Anwar menang tanpa bertanding jawatan presiden pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Anwar sebelum ini turut memberi bayangan akan kembali ke Parlimen dalam masa terdekat namun tidak dapat dipastikan dimana.

Semalam nama Anwar disahkan hanya calon tunggal yang akan bertanding Presiden PKR.

Namun Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan PKR (JPP) Ismail Yusof berkata nama Anwar belum boleh disahkan sebagai presiden secara rasmi kerana badan itu mempunyai prosedur tertentu,

Katanya semua nama yang dicalonkan perlu melalui proses pengesahan oleh JPP.