Khazanah rugi RM80 juta jual baju dalam, coli

  • 6 years ago
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengketengahkan kerugian pelaburan Khazanah Nasional yang bernilai AS$20 juta (RM80 juta) sebagai contoh selepas Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) mempertikaikan dakwaan bahawa syarikat kerajaan itu tersasar daripada objektifnya.

Najib yang mencelah Azmin semasa beliau menyampaikan ucapan penggulungan untuk kementeriannya di Dewan Rakyat, menyoal mengenai dakwaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini bahawa Khazanah telah menyimpang daripada terasnya.

“Dalam tempoh 10 tahun, aset khazanah telah melonjak RM33 bilion kepada RM134.5 bilion, maknannya dari segi wealth creation dalam 10 tahun, Khazanah telah berjaya.

“Saya bukan nak pertahankan waktu saya jadi pengerusi Khazanah tapi saya nak minta penjelasan di manakah agaknnya yang dikatakan Khazanah telah lari, deviatate dari tujuan objetif asalnya. Saya nak minta penjelasan,” kata Najib.

Menjawab soalan itu, Azmin merujuk kepada pelaburan Khazanah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Sebagai contoh, Khazanah telah melabur sebanyak hampir AS$20 juta melalui sebuah syarikat online retalier yang menjual loungeries, baju dalam, bras (coli)... akhirnya pelaburan ini terpaksa diwrite-off atau dihapus-kira.

“Ini yang paling kecil yang berlaku,” katanya.