Kasut sekolah hitam: Persatuan peruncit gesa kementerian buat kenyataan jelas

  • 6 years ago
Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) menggesa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) membuat kenyataan dengan jelas berkaitan penggunaan kasut sekolah hitam yang bermula tahun depan.

Presidennya, James Loke berkata, kerajaan perlu mengeluarkan kenyataan bertulis kepada industri berhubung perkara itu kerana mereka sudah membuat tempahan awal sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun bagi kasut sekolah putih bagi menjamin bekalan mencukupi dalam pasaran.

“Oleh itu, kami (MRA) memohon KPM memberikan kenyataan rasmi bertulis kepada pihak industri untuk membolehkan pihak industri menyediakan perancangan yang lebih baik bagi mengelakkan lambakan stok kasut sekolah putih.

“Malah, MRA juga memohon agar KPM dapat memberikan tempoh masa lebih sesuai sekitar 12 hingga 18 bulan untuk membuat keputusan meneruskan pelaksanaan penggunaan kasut sekolah putih kepada hitam dan bukannya bermula pada awal tahun hadapan,” katanya pada sidang media di sini Pejabat MRA di Kuala Lumpur, hari ini.