Biasiswa CIMB BEST lahirkan modal insan berkemahiran

  • 6 tahun lalu
KUALA LUMPUR 21 Mei - Memberi bantuan kewangan bukannya suatu perkara yang sukar untuk dilakukan oleh mana-mana pemberi biasiswa tetapi yang sukar adalah mencari penerima berkemahiran, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan CIMB, Datuk Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

Oleh demikian, katanya, Kumpulan CIMB, sebuah institusi perbankan berkaliber mengambil langkah hati-hati dalam memilih penerima biasiswa CIMB BEST.

Beliau berkata, melahirkan siswazah usahawan muda yang berkemahiran lebih sukar berbanding memberikan bantuan kewangan.

"Kita memang mencari usahawan muda yang berpotensi dalam bidang pengurusan perniagaan.

"Ini kerana kita percaya dalam kelompok golongan usahawan muda ini, mereka mempunyai banyak idea selain daripada berketerampilan dengan inovasi-inovasi tersendiri," katanya ada majlis penyerahan biasiswa tersebut di sini hari ini.

Sehubungan itu, Tengku Zafrul berkata, Kumpulan CIMB berbangga dengan dua penerima kumpulan pertama Biasiswa CIMB BEST, Azudin Daem, 36, dan Fazeela Gulam Rasul, 32, yang menepati kriteria yang ditetapkan oleh pihak CIMB.

Katanya lagi, matlamat Kumpulan CIMB bukan sahaja ke arah memberikan sokongan kewangan kepada usahawan muda untuk melanjutkan pengajian mereka ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan.

Tetapi juga, ujarnya, bertujuan membantu melahirkan golongan usahawan muda yang terlatih mindanya.

"Kita menerima banyak permohonan untuk mendapatkan Biasiswa CIMB BEST kerana tawaran dibuka kepada semua usahawan muda.

"Jadi, daripada 61 usahawan muda yang mengikuti jurusan pengurusan perniagaan, dua yang layak dan terpilih untuk menerima biasiswa ini," tegas beliau.

Biasiswa penuh yang ditawarkan oleh Kumpulan CIMB berjumlah R48, 000 adalah bagi membiayai yuran pengajian penerima sepanjang tiga tahun di Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak). - UTUSAN ONLINE