Simposium Hartanah Utusan bagi lahirkan pembeli, pelabur bijak

  • 6 tahun lalu
UALA LUMPUR 12 Jun - Simposium Hartanah Utusan diyakini dapat melahirkan kumpulan pembeli dan pelabur hartanah yang bijak, sekali gus meningkatkan kekayaan masyarakat, kata Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar dan Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique.



Beliau berkata, simposium sebegini penting bagi memberi peluang kepada rakyat untuk memiliki sebuah hartanah dan mengetahui selok-belok pembelian sebuah hartanah.



"Bagi saya, pembelian hartanah juga penting terutama dalam pembinaan sebuah rumah. Saya melihat bagi menjadi rakyat, keluarga dan pekerja yang baik, rumah satu keperluan asas yang penting untuk meningkatkan tahap keyakinan dan melonjakkan tahap kehidupan kekeluargaan.



"Ini juga menunjukkan bahawa melalui perumahan yang selesa, seseorang akan secara sendiri mejadikankan persekitarannya sebagai satu tanggungjawab, dan dengan sifat bertangggungjawab ini berkuranglah masalah sosial dan meningkatlah kekayaan sebuah masyarakat," katanya di sini hari ini.



Halimah berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian pada Simposium Hartanah Utusan 2015, yang berlangsung pada hari ini dan esok, di Dewan Besar Ibu Pejabat Kumpulan Utusan di Jalan Utusan di sini.



Beliau berkata, sebagai media arus perdana akhbar Utusan Malaysia terus mengorak langkah seiring dengan wajah baharu iaitu untuk mewujudkan lebih banyak aktiviti dan program keilmuan yang dekat dengan pembaca.



"Penganjuran program seumpama ini sangat dialu-alukan kerana memberi peluang yang luas untuk semua masyarakat dalam mendapatkan informasi yang tepat dan bermanfaat untuk diadaptasi dalam kehidupan harian.



"Ini juga diharap dapat memberi ilmu dan garis panduan yang lebih jelas dan terperinci.



"Saya mahu melihat golongan belia mengambil peluang ini kerana mengikut kajian, sebanyak 58 peratus golongan muda berusia 31-35 tahun masih tidak mempunyai rumah sebagai aset dan pelaburan pada masa hadapan.



"Ini selaras dengan seruan Kerajaan yang memberi penekanan tentang kepentingan untuk menggalakkan golongan belia memiliki aset hartanah dalam usia muda," tambah beliau.



Menurut Halimah lagi, simposium ini turut penting kepada golongan bumiputera, yang merupakan sasaran utama berikutan antara pasaran terendah yang memiliki aset hartanah. - UTUSAN ONLINE