Sultan Nazrin lancar Hikayat Misa Melayu, setem dakwat emas

  • 6 tahun lalu
IPOH 4 Mei - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah perkenan melancarkan hikayat sejarah Misa Melayu, Setem Hari Pertama dan Pameran Koleksi Gambar sempena Pertabalan Sultan Perak ke-35.

Sultan Nazrin tiba pada majlis pelancaran di Dewan Badaran Ipoh bersama-sama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan kedua-dua anakanda, Raja Azlan Muzzaffar Shah dan Raja Nazira Safya.

Sultan Nazrin bertitah, Misa Melayu
karya bangsawan Melayu dari Istana Perak di abad ke-18 iaitu Raja Chulan ibni Raja Hamid merupakan karya agung berkaitan kesultanan Perak dan boleh menjadi panduan kepada golongan muda sebagai bekal mencipta masa depan yang lebih gemilang.

Hikayat berkenaan mengandungi Syair Sultan Iskandar Bermain-Main Ke Laut dan merupakan dokumentasi zaman keemasan Kesultanan Perak.

Syair 481 rangkap tersebut merupakan dokumen sejarah tentang perjalanan seorang Sultan Perak dalam kehidupan pemerintahan baginda.

Sementara itu, Setem Hari Pertama dan Sampul Surat Hari Pertama berkaitan Pertabalan Sultan Perak ke-35 boleh didapati di pejabat-pejabat pos mulai 7 Mei.

Pemangku Ketua Eksekutif, Kumpulan Pos Malaysia, Azlan Shahrim berkata, setem berkenaan mencatatkan sejarah tersendiri apabila buat pertama kali dakwat emas digunakan dalam tempoh 200 tahun.

Azlan menjelaskan gambar-gambar dan rekaan yang terdapat pada setem tersebut dipilih sendiri olen Sultan Nazrin.

Setem dominasi 60 sen itu dicetak sebanyak 400,000 keping dan dominasi 80 sen dan RM1.20 masing-masing sebanyak 250,000 keping. - UTUSAN ONLINE