Kes Altantuya: Bekas pembantu Najib belum dipanggil, kata IGP

  • 6 years ago
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata polis belum memanggil bekas pembantu kepada Datuk Seri Najib Abdul Razak, Musa Safri, untuk siasatan baru ke atas pembuhuhan model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Menurut Fuzi, bekas Timbalan Supritendan polis itu telahpun bersara dari jabatan polis.

Bapa Altantuya, Setev Shaariibuu memailkan laporan polis pada 20 Jun lalu untuk memulakan siasatan baru, dan meminta polis mendapatkan keterangan daripada Musa.

Setev berkata Musa mungkin tahu sesuatu mengenai kes itu tetapi tidak dipanggil untuk memberi keterangan semasa perbicaraan.

Dua bekas anggota Unit Tindakan Khas polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar disabitkan bersalah pada 2009 dan dijatuhkan hukuman gantung. Mereka kemudian dibebaskan selepas mahkamah rayuan menolak sabitan pada 2013.

Mahkamah Persekutuan pada 2015 kemudian mengekalkan hukuman gantung mereka. Sirul telah melarikan diri ke Australia sementara Azilah sedang menunggu hukuman.

Seorang lagi tertuduh, Abdul Razak Baginda, dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Musa merupakan orang atasan kepada bekas komando polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar yang disabitkan bersalah membunuh Altantuya.

Musa sebelum ini dikatakan memberitahu Azilah dan Sirul untuk berjumpa rakan rapat Najib, Razak Baginda yang dipanggil membantu siasatan polis selepas dikatakan diganggu kekasihnya Altantuya.

Musa tidak pernah dipanggil untuk memberi keterangan dan Mahkamah Persekutuan pada 2015 memutuskan kenyataannya tidak penting dalam kes itu.

Altantuya, 28, dibunuh dan mayatnya diletupkan pada Oktober 2006.