CNN: FBI siasat hubungan perniagaan anak Trump-usahawan Malaysia

  • 6 years ago
Biro Penyiasatan Persekutuan AS (FBI) sedang menyiasat hubungan perniagaan antara anak perempuan Presiden Amerika Syarikat, Donald J Trump - Ivanka Trump - dengan pemaju Malaysia, Tiah Kim Joo.

Laporan eksklusif CNN, memetik dua pegawai AS sebagai berkata agensi itu sedang meneliti "rundingan dan pembiayaan" Trump International Hotel and Tower di Vancouver, Kanada.

Ivanka didakwa "berperanan utama" dalam rundingan perjanjian menara itu dengan firma pembangunan harta tanah milik Tiah, Holborn Group, yang membina dan masih mengurus menara berkenaan.

Menurut CNN, adalah "tidak jelas" mengapa menara Vancouver itu menjadi tumpuan FBI tetapi membuat spekulasi bahawa kemungkinan disebabkan ia dirasmikan pada Februari 2017, sebulan selepas Trump mengangkat sumpah jawatan.

Akhbar harian Kanada, The Vancouver Sun sebelum ini melaporkan bahawa seorang daripada pembeli menara itu mempunyai hubungan dengan kerajaan China.

Setakat ini, organisasi Trump memperolehi lebih AS$5 juta (RM19.5 juta) dalam royalti dan AS$21,500 (kira-kira RM84,247) dalam yuran pengurusan dari Holborn, kata laporan itu.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan dakwaan ini secara bebas.

Laporan itu juga menyebut, menara berharga AS$360 juta (kira-kira RM1.41 bilion) mempunyai 63 tingkat dan menempatkan 217 unit kediaman mewah, 147 bilik hotel serta juga spa bereputasi jenama Ivanka Trump.

Di sebalik namanya, dan memiliki bangunan itu, Holborn membayar Organisasi Trump untuk menggunakan jenama Trump.

Selain menerajui Holborn, Tiah juga adalah ketua pegawai eksekutif TA Global Bhd, konglomerat Malaysia yang diasaskan oleh bapanya, Datuk Tiah Thee Kian.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Tiah untuk mendapatkan ulasannya.