Amah mati didera di P.Pinang jadi tumpuan media Indonesia

  • 6 years ago
Kementerian Luar Indonesia akan memberikan bantuan guaman dalam kes membabitkan Adelina Lisio, 28 pembantu rumah warga negara itu yang meninggal dunia dipercayai didera di Malaysia.

Menteri Luar, Retno Marsudi berkata, kementerian itu telah berhubung dengan Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) dan Kedutaan Besar Republik Indonesia sejak menerima berita itu.

Retno juga berkata pihaknya akan memastikan pihak berkuasa Malaysia akan menangani kes berkenaan dan menyebut Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan turut menyampaikan takziah atas kejadian itu.

Ahad lalu, Adelina yang disyaki didera majikannya dalam kejadian di Taman Kota Permai 2, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam.

Susulan itu polis menahan seorang wanita dan abangnya berusia 36 dan 39 tahun yang merupakan majikan kepada wanita itu dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

Menurut laporan, beberapa jiran mendakwa wanita itu dipaksa tidur bersama seekor anjing jenis Rottweiler di anjung sebuah rumah selama lebih sebulan sebelum dia ditemui Sabtu lalu.

Semalam, wakil Konsulat Indonesia di Pulau Pinang Neni Kurniati berkata pihaknya memandang serius kejadian itu dan berharap keadilan akan diberikan sewajarnya terhadap mangsa