Iran-Iraq dilanda gempa bumi 7.3 magnitud

  • 6 years ago
Jumlah mangsa yang terkorban dalam kejadian gempa bumi di sempadan Iran-Iraq semalam meningkat lebih 130 orang dengan lebih 120 mangsa terkorban di Iran dan beberapa lagi di Iraq.

Timbalan Gabenor wilayah Kermanshah di Iran, Mojtaba Nikkerdar berkata sekurang-kurangnya 129 mangsa terkorban di wilayah itu.

Lebih 60 mangsa yang terkorban ditemukan di bandar Sarpol-e-Zahab yang terletak kira-kira 15 kilometer dari sempadan kedua-dua negara.

Menurut para pegawai di Iraq, sekurang-kurangnya empat orang terkorban dan lebih 50 cedera di negara itu.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) merekodkan gempa bumi dengan 7.3 magnitud.

Sementara pegawai Meteorologi Iraq melaporkan ia mempunyai kekuatan 6.5 magnitud dengan pusat gempa di Penjwin di wilayah Sulaimaniyah di kawasan Kurdistan, terletak di kawasan sempadan utama dengan Iran.