Chong Wei hampir sebak, mohon maaf

  • 8 years ago
Impian Datuk Lee Chong Wei mengakhiri kariernya di Sukan Olimpik dengan pingat emas berakhir apabila tunduk kepada juara dunia, Chen Long di Pavilion 4, Riocentro, di Rio de Janeiro, Brazil hari ini.

Chong Wei tewas 18-21, 18-21 kepada pemain nombor dua dunia dari China itu dalam pertarungan sengit selama 76 minit, sekali gus meranap impian Malaysia mendapatkan pingat emas pertama dalam sejarah Olimpik.

Sebelum ini, Chong Wei, 33, menundukkan Lin Dan, juga dari China, yang mengecewakannya dalam dua aksi final Sukan Olimpik terdahulu, di separuh akhir di sini, tetapi jelas seorang lagi bintang republik berkenaan menjadi penghalang dalam penampilan ketiganya di perlawanan penentuan Sukan Olimpik.

Chong Wei mengakhiri karier Olimpiknya dengan tiga pingat perak berturut-turut, manakala ia adalah emas sulung untuk Chen Long, selepas Lin Dan menang di edisi 2008 di Beijing dan 2012 di London.