Khalid Samad mohon maaf pada Hadi Awang
  • 4 years ago
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Samad hari ini menarik balik kenyataannya serta memohon maaf kerana membuat serangan peribadi terhadap Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Khalid berkata, beliau membuat permohonan maaf berkenaan selepas dinasihati Penasihat Umum AMANAH, Ahmad Awang.

"Saya dengan ini menarik balik kenyataan 'Presiden PAS sudah tidak centre' dan meminta maaf. Ini kerana saya tidak berniat untuk membuat serangan peribadi kepada beliau.

"Tapi saya tetap mempertahankan hujah saya (bahawa) PAS bukan model politik Islam.

"Bagi saya ustaz Hadi telah mengkhianati perjuangan PAS yang sebenar yang ingin dihayati sebagai perjuangan Islam yang bebas perkauman dan bebas penyelewengan apabila beliau sedia untuk bekerjasama dengan Umno dan menyertai kerajaan Perikatan Nasional," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang turut disiarkan secara live di Facebook Malaysia Dateline.

Pada 10 Mac lalu, dalam satu temubual, Khalid menyifatkan Abdul Hadi "tidak centre" ketika menjawab soalan berhubung kenyataan anggota parlimen Marang itu mengenai PAS model politik Islam yang boleh dicontohi kerajaan Pakatan Nasional.