Walau beza pendapat, Belanjawan 2021 jadi saksi perpaduan demi rakyat

  • 4 years ago
Hakikatnya, ini bukanlah kali pertama dunia dilanda wabak. Manusia sudah berulang kali jatuh dan bangkit semula membina tamadun. COVID-19 sememangnya musibah yang membuat dunia akur bermuhasabah, mencari solusi, dan saling meneladani.

Kita perlu bersyukur, kita masih kuat menggagahi semua ini. Kuatnya negara ini adalah kerana rakyatnya tabah berkorban membenteng negara. Maka sebab itu, bagi Kerajaan, nurani rakyat mesti didakap erat, kerana kepercayaan rakyat mahal ... maharnya.

Saya punya sebuah kepercayaan. Betapa bangsa Malaysia ialah bangsa yang berani, bangsa yang kuat, yang bila sepakat kita mampu melakukan yang luar biasa. Atas hakikat itulah Belanjawan 2021 ini mengangkat sebagai tema “Teguh Kita, Menang Bersama”.

Kita boleh berbalah dan berbeza pandangan atas perkara cabang, namun bermuafakatlah kita atas perkara dasar. Jika sebelum ini kita pernah bersama sebulat suara bersetuju dengan penubuhan Kumpulan Wang COVID-19, adalah harapan ramai di dalam Dewan yang mulia ini mahupun rakyat di luar sana—Belanjawan ini dijulang menjadi kanun saksi perpaduan kita demi rakyat.