Arahan sit-down hangatkan sesi bahas Dewan Rakyat

  • 4 years ago
Arahan berulang kali ‘Yang Berhormat (YB) ‘sit down’ (duduk) daripada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Azalina Othman Said, menghangatkan sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Arahan dikeluarkan Azalina, apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) yang tidak diberi laluan oleh Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) yang ketika itu membahaskan usul berkenaan, terus berdiri untuk mencelah perbahasan dan menggunakan peraturan mesyuarat, untuk mendapatkan laluan.

Rayer bangun apabila Mohd Salim mendakwa Pakatan Harapan mengkhianati kepercayaan yang diberikan rakyat, seperti menjual aset-aset negara, dan beliau meminta Mohd Salim menjelaskan mengenai dakwaan itu.

Kekecohan reda seketika namun Rayer bangun semula, selepas Azalina mengarahkan Mohd Salim untuk menyambung perbahasan, dengan memberi kebebasan kepada Mohd Salim sama ada ingin menjawabnya atau tidak.

Tindakan Rayer itu sekali lagi menguji kesabaran Azalina, sehingga beliau memberi amaran untuk memanggil bentara Parlimen untuk mengiringi Rayer keluar dewan.