866 jemaah tabligh dari Johor masih gagal tampil buat saringan
  • 4 years ago
Baki seramai 866 peserta ijtimak Masjid Sri Petaling hujung bulan Feb lepas dari negeri ini yang masih enggan melakukan saringan kesihatan, bakal berdepan tindakan tegas.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata seramai 2,086 orang peserta dari negeri ini dikenal pasti menghadiri perhimpunan berkenaan dan daripada jumlah itu, 1,220 orang berjaya dikesan dan telah membuat saringan di hospital.

"Kita sudah kesan (bakinya seramai 866 peserta) dan kenal pasti (identiti mereka). Kita akan panggil mereka. Kalau mereka masih tidak mahu tampil buat saringan, kita akan ambil tindakan tegas kerana kita sudah bagi banyak amaran.

"Tiada tempoh untuk mereka. Kita akan berhubung dengan mereka, pujuk mereka untuk hadir (buat saringan)," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di Johor Bahru, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata 73 peserta tabligh Ijtima Dunia 2020 Zon Asia di Sulawesi, Indonesia, baru-baru ini sudahpun memasuki Johor sejak 23 Mac lepas menerusi laluan laut dengan menggunakan pintu masuk di Stulang Laut dan Puteri Harbour.

Menurut Ayob Khan kesemua mereka kini menjalani proses kuarantin selama 14 hari di rumah masing-masing.
Recommended