Penduduk dakwa pekerja asing kondo runtuh diabaikan, pemaju nafi
  • 4 years ago
Gabungan Lindungi Taman Desa mendakwa pekerja asing di tapak projek kondominium yang sebahagiannya runtuh minggu lalu, diabaikan oleh pemaju.

Bagaimanapun, pemaju projek itu menafikan dakwaan berkenaan.

Penyelaras media kumpulan penduduk berkenaan, M Gunasekar mendakwa pekerja tidak diberikan makanan, rawatan perubatan mahupun gaji.

Beliau menambah penduduk melancarkan kutipan derma untuk menghulurkan sumbangan makanan dan menggesa pihak berkuasa menyiasat perkara itu.

Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Sumber Manusia untuk mendapatkan respon.

Sementara itu, Malay Mail melaporkan pengurus projek, Seymour Chew menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan pihak pengurusan masih berada di tapak kondo berkenaan.

Jumaat lepas, projek kondominium itu runtuh, manakala dua pekerja pembinaan terpaksa diselamatkan selepas terperangkap di bawah runtuhan.

Berikutan itu, arahan pemberhentian kerja telah dikeluarkan.