4 anak Azmin pula terlibat kes saman tak bayar bil pelancongan

  • 4 years ago
Empat anak Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali kini digabungkan bersama bapanya sebagai defendan dalam kes saman agensi pelancongan.

Ini bagi kes mendapatkan tuntutan bil tertunggak tiket penerbangan dan penginapan hotel yang tidak dibayar.

Pada 23 Januari, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan permohonan plaintif YHA Travel & Tours Sdn Bhd untuk menambah Farah Shazliyana, Farah Afifah, Farah Amira, dan Mohamed Ameer Shazrin sebagai defendan.


November tahun lalu, YHA memfailkan saman terhadap Azmin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menuntut RM328,901 untuk tiket penerbangan dan penginapan hotel yang belum dibayar.

Firma itu berkata ia telah membayar kepada syarikat penerbangan terlebih dahulu untuk mendapatkan tiket dan sepatutnya akan dibayar kemudian oleh Azmin atau wakilnya dalam tempoh tiga hingga empat bulan.

Pada 14 Disember tahun lalu, Azmin memfailkan tuntutan balas melalui firma guaman, Tetuan Daim & Gamani, menyifatkan saman oleh agensi pelancongan itu mempunyai motif tersembunyi.