Mahkamah benar Najib, keluarga periksa barang disita
  • 4 years ago
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan bekas perdana menteri Najib Razak dan keluarganya untuk memeriksa barangan yang disita kerana didakwa berkaitan dengan 1MDB.

Menurut Hakim Mohamed Zain Mazlan, beberapa syarat tambahan diletakkan untuk pemeriksaan dilakukan, antaranya pemeriksaan mesti dijalankan di premis yang ditetapkan pihak pendakwaan.

Selain itu, pemeriksaan hanya boleh dibuat sekali dan akan dilakukan dalam masa dua minggu ini.

Sebelum ini, Peguam Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah berkata Najib dan keluarganya perlu memeriksa barang yang dirampas SPRM untuk mengenal pasti sama ada ia diterima sebagai hadiah atau dibeli sendiri.

Najib, isterinya Rosmah Mansor dan anak mereka Nooryana Najwa memfailkan permohonan untuk membuat pemeriksaan tersebut pada 18 Julai 2019.

Antara barangan yang dirampas ialah 315 buah beg tangan, 14 utas jam tangan dan 27 pasang kasut pelbagai jenama.

Turut dirampas ialah wang tunai dalam pelbagai mata wang, termasuk ringgit, pound sterling, Sri Lanka rupee dan mata wang lama.