'Zuraida kekal tenang, kerja macam biasa'
  • 4 years ago
Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, akan kekal tenang walaupun diberikan surat tunjuk sebab - yang sudah dijawab hari ini - dan meneruskan tugasnya seperti biasa, kata pegawai kanannya.

Menurut Noor Hizwan Ahmad, ahli parlimen Ampang itu akan tetap memberikan khidmatnya sama ada sebagai wakil rakyat mahupun naib presiden PKR.

"Terpulang kepada penilaian dan tindakan seterusnya oleh lembaga disiplin," katanya kepada media selepas menyerahkan surat jawaban di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.

Terdahulu Noor Hizwan ditanya mengenai tindakan lanjut yang akan diambil Zuraida selepas menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Lembaga Disiplin PKR pada 15 Jan lalu.