SPRM sedia lawan cabaran notis kompaun 1MDB
  • 4 years ago
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia berdepan pihak yang mengambil tindakan undang-undang terhadap kompaun yang dikeluarkan ke atas individu yang didakwa menerima dana berkaitan 1MDB daripada bekas perdana menteri Najib Razak.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya mengesahkan badan antirasuah itu dinamakan sebagai responden dalam beberapa permohonan semakan kehakiman yang difailkan beberapa individu daripada sejumlah 80 individu dan entiti yang dikatakan menerima wang berkenaan.

“Perkara kompaun sememangnya, bila kita (SPRM) beri peluang untuk membayar denda dan jika tidak berbuat demikian, kita perlu ambil tindakan,” kata Latheefa kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di Kuala Lumpur.

“Sewaktu kami berbuat demikian, SPRM telah menerima satu permohonan mahkamah yang mencabar hak SPRM dalam pengeluaran kompaun tersebut.

“Itu sememangnya, kita akan lawan. Ini di bawah Jabatan Peguam Negara dan sekarang dalam peringkat permohonan. Kami adalah responden.

“Peguam Negara akan cabar fakta tersebut. Bolehkah kalau kita cabar seseorang yang mengeluarkan kompaun?” jelas Latheefa.