Warisan main "wayang" - Tok Mat

  • 4 years ago
Umno mengingatkan pengundi Kimanis supaya tidak terpengaruh dengan "wayang" yang dimainkan parti Warisan kononnya mereka parti tempatan dan tidak ada kaitan dengan PH.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, berkata Warisan cuba menonjolkan kepada rakyat Sabah bahawa mereka tiada hubungan dengan parti dari Semenanjung Malaysia kerana prestasi PH kurang disenangi rakyat.

Hakikatnya, kata Mohamad, Warisan adalah penyokong kuat kepada gabungan PH yang dipimpin Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

"Kalau kerajaan Warisan Sabah kata tak ada kena-mengena dengan PH, itu pembohongan... mereka main politik.

"Mereka (cuma) tak masuk (PH) secara formal, tapi mereka penyokong kuat kepada PH di semenanjung, mereka bergabung secara tak rasmi.

"Kalau bukan sebahagian daripada PH kenapa (Warisan) dapat sampai tiga menteri, timbalan menteri lagi?" katanya yang ditemui ketika berkempen di Kimanis malam tadi.

PRK parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas.