Affendi Buang dilantik Panglima ATM

  • 4 years ago
Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Affendi Buang dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ke-21 berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan Affendi disaksikan sendiri oleh Menteri Pertahanan Mohamad Sabu pada majlis serah terima tugas jawatan nombor satu ATM itu di Wisma Pertahanan, di Kuala Lumpur.

Affendi menggantikan Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin yang bersara wajib pada hari ini.

Zulkifli, 61, merupakan anak kelahiran Port Weld (kini dikenali Kuala Sepetang), Perak, yang memulakan khidmatnya dalam ATM pada 30 Jan 1978 dengan memasuki Rejimen Askar Melayu Diraja.

Beliau dilantik sebagai Panglima ATM ke-20 pada 20 Jun 2018 menggantikan Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang bersara wajib.

Affendi, 57, telah berkhidmat sebagai Panglima TUDM sejak 21 Dis 2016.

Affendi yang dilahirkan pada 21 Ogos 1962 di Kuching, Sarawak, merupakan Panglima Tentera Udara kedua dilantik sebagai Panglima ATM selepas Jen Tan Sri Azizan Ariffin.

Turut hadir pada majlis serah terima tugas berkenaan ialah Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

Recommended