'Kita tak boleh pandang ringan pertemuan ulang tahun Perjanjian Damai Hat Yai'

  • 4 years ago
Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis dan bahagian risikan untuk melengkapkan siasatan penuh seberapa segera.

"Saya harap dalam minggu ini, polis dapat segerakan laporan berikutan perkara ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana pelbagai benda boleh berlaku jika dibiarkan.

"Rakyat Malaysia mahu tahu perkara sebenar dan mereka tidak mahu cerita bohong atau palsu. Sudah pastinya rakyat mahu tahu apa yang berlaku dan sebabnya.

"Sebagai pihak agensi bertanggungjawab juga mahu tahu apa yang berlaku dan kita tidak boleh berlengah-lengah hingga tidak ada tindakan sewajarnya," katanya.

Mengulas penyertaan beberapa pemimpin politik negara dalam pertemuan tersebut, Muhyiddin berkata pihaknya akan meneliti laporan penuh berhubung perkara itu.

"Kita akan teliti dahulu dan apa tujuan dia yang mungkin mahu tunjukkan perasaannya dalam majlis terbabit.

"Bagaimanapun, kita akan siasat apa yang berlaku dan menilai langkah yang perlu diambil berdasarkan pelbagai aspek dan sudut," katanya.

Awal pagi semalam dilaporkan, sekumpulan bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) menganjurkan acara di Kajang untuk memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hat Yai yang ditandatangani pada 2 Dis 1989.

Acara serupa juga akan diadakan di Hat Yai malam ini.

Penandatanganan perjanjian antara PKM dengan kerajaan telah menamatkan pemberontakan komunis selama 21 tahun di Malaysia dan membawa kepada pembubaran PKM.

Seramai 300 orang, kebanyakannya warga tua, menghadiri majlis memperingati perjanjian itu.