Tg Piai : Saifuddin akui beri sumbangan RM5 ribu kepada sekolah
  • 4 years ago
Tiada undang-undang khusus di Malaysia menghadkan pemberian sumbangan oleh seorang menteri kepada sekolah pada waktu pilihan raya.

Demikian kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub yang menyifatkan bahawa beliau sebagai menteri berhak memberi sumbangan kepada sekolah pada waktu pilihan raya.

"Tak ada undang-undang di negara kita menyatakan boleh memberi masa PRK atau tak boleh beri. Saya menteri, saya boleh (memberi sumbangan) bila-bila masa," katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Susulan pendedahan sebuah akaun Facebook dikenali 'Ops Johor', Ahli Parlimen Pulai itu diminta untuk mengulaskan sumbangan RM5 ribu kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Pei Chio, Kukup Laut, di Tanjung Piai semalam.

Terdahulu, pemilik akaun Facebook mendakwa tindakan sumbangan RM5 ribu kepada sekolah tersebut sebagai satu kesalahan di bawah Akta Pilihan Raya 1958.

"Saya bertemu dengan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru). Yang kebetulan saya menyampaikan beberapa sumbangan yang saya janjikan sebelum PRK. Itu sahaja."

"Sebab, surat (permohonan sumbangan) itu dihantar kepada saya beberapa bulan yang lalu.

"Seperti di parlimen saya parlimen Pulai termasuklah guru-guru di sana (Tanjung Piai) mengenali saya sebagai menteri anak tempatan Tanjung Piai. Mereka juga minta sumbangan dan saya bagi semalam sekolah itu dan kepada sekolah-sekolah yang lain," tambahnya lagi.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

SPR menetapkan 16 Nov sebagai hari mengundi PRK Tanjung Piai manakala 12 Nov bagi pengundian awal.

Ia menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Wee dengan calon PH Karmaine Sardini , Wendy Subramaniam (Gerakan), Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) serta dua calon bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.