Pelajar UM protes balas kepada mahasiswa biadap
  • 5 years ago
Beberapa orang siswa Universiti Malaya (UM) mengadakan demonstrasi secara aman bagi menyokong kepimpinan Naib Canselornya Dr Abdul Rahim Hashim di Dataran DTC UM, pagi tadi.

Menerusi video yang dimuatnaik oleh Kini TV beberapa pelajar universiti itu melaungkan “UM, respect our VC, jaga adab, jangan biadab.”

Demonstrasi itu sebagai bantahan balas terhadap seorang mahasiswa Wong Yan Ke yang melakukan protes dengan melaungkan slogan menolak kepimpinan naib canselor universiti itu selepas menerima skrol ijazah pada Majlis Istiadat Konvokesyen ke-59 UM, semalam.

Wong berjalan turun ke bawah pentas sempat berhenti sebentar, membuka plakad dan melaungkan: “Tolak rasis. Undur VC. Ini Tanah Malaysia”.

Pelajar jurusan kejuruteraan awam itu mendakwa, Abdul Rahim menggunakan nama UM untuk politik kaum dan kepentingan parti semasa Kongres Maruah Melayu dua minggu lalu.

Wong ialah bekas presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) yang pernah menjadi perhatian selepas mendakwa dikasari oleh Anggota MT Umno Lokman Adam pada 22 Mac lalu.