Bantuan harus sampai kepada kumpulan sasar bukan ketua cawangan parti - sinis Anwar
  • 5 years ago
Presiden PKR, Anwar Ibrahim, berkata kerajaan perlu mengkaji semula kadar kemiskinan di Malaysia berikutan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendakwa peratusan kemiskinan di negara ini adalah 15 peratus dan bukan 0.4 peratus seperti yang dilaporkan pada 2016.

Beliau berkata kajian mengenai kadar kemiskinan di Malaysia harus diukur atau dikaji menggunakan kaedah yang betul bagi memastikan hasil kajian yang tepat.

“Saya melihat di mana-mana kampung atau kawasan Felda di Malaysia mempunyai rakyat yang miskin iaitu mereka yang berpendapatan rendah.

"Oleh itu saya berpendapat kadar sebenar kemiskinan di negara ini mungkin lebih tinggi berbanding 0.4 peratus yang dinyatakan kerajaan.

“Saya juga berpendapat bahawa apa yang dikatakan Pelapor Khas Mengenai Kemiskinan Melampau dan Hak Asasi PBB, Prof Philip Alston mendakwa Malaysia mempunyai kadar kemiskinan yang sangat ketara dan kadar sebenar kemiskinannya ialah kira-kira 15 peratus adalah benar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada dialog Digital Native Agenda (DNA23) The Challenges And Way Forward di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di Kota Kinabalu malam tadi.

Pada masa sama, Anwar berkata cara kerajaan terdahulu melaksanakan program membasmi kemiskinan di negara ini secara tidak telus dan banyak kebocoran.

“Sehingga RM28 bilion setahun disalurkan untuk bantu orang miskin namun ia bocor dan bukan nelayan atau petani pun dapat bantuan…kenapa dia dapat..? Sebab dia ketua cawangan parti berkenaan.