Khalid Samad terkejut dengan kenyataan Takyuddin, tak patut remehkan Memali

  • 5 years ago
Khalid Samad meluahkan rasa terkejut dengan kenyataan Setiausaha Agung PAS,Takiyuddin Hassan bahawa tragedi Memali kini menjadi kecil dengan penyatuan ummah antara PAS dan Umno.

Katanya, banyak pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa itu, dan perdamaian antara dua parti itu tidak akan mengubah hakikat bahawa tragedi tersebut tetap pernah berlaku.

“Dengan kenyataan sebegitu rupa, seolah-olah memberikan gambaran bahawa peristiwa itu berbaur politik semata-mata, dan apabila dah berdamai dua parti politik yang terlibat, maka dah tak jadi isu.

“Sedangkan nyawa terkorban di pihak polis, dan juga di pihak orang kampung...Tak sepatutnya peristiwa sebegitu rupa diremehkan. Saya cukup dukacitalah kalau benar Takiyuddin mengeluarkan kenyataan sebegitu rupa,” katanya ketika ditanya pemberita.

Menjawab soalan mengenai penerimaan keluarga mangsa Memali terhadap penyatuan Umno dan PAS di sidang media Himpunan Penyatuan Ummah di PWTC semalam, Takiyuddin juga berkata peristiwa Memali sebagai "takdir" yang harus diterima seadanya.

Peristiwa Memali ialah insiden berdarah membabitkan pasukan keselamatan - yang ketika itu ditadbir BN - dengan penyokong PAS di Kampung Memali di kawasan pedalaman Baling, Kedah.

Hasil daripada pertembungan dua pihak terbabit seramai 18 orang termasuk 14 ahli PAS terbunuh dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain. Turut terkorban anggota keselamatan yang terlibat dalam operasi tersebut.