NGO desak taikun disiasat isu hina tentera

  • 5 years ago
Kerajaan didesak mengambil tindakan tegas terhadap ahli perniagaan, Koon Yew Yin yang mencadangkan supaya kakitangan awam termasuk anggota tentera dikurangkan.

Presiden Gerakan Martabat Pejuang Negara (GMPN) Malaysia Razali Zakaria berkata kerajaan dan agensi berkaitan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu bertindak tanpa prejudis melakukan siasatan ke atas Koon.

Menurutnya, kenyataan Koon bukan sahaja melampaui batas malah ia boleh menjejaskan keamanan serta keharmonian negara.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju pada Rabu.

Bagaimanapun, Koon meminta maaf atas kenyataannya yang antara lain menyifatkan anggota tentera negara ini hanya "makan dan tidur".

Memetik Utusan Online, Koon berkata kecaman yang diterimanya mungkin disebabkan caranya mengeluarkan kenyataan itu yang tidak disenangi sesetengah pihak.

Jelas Koon, sepatutnya beliau berkata pasukan tentera diperlukan ketika perang untuk mempertahankan negara dan ketika keadaan negara aman, mereka sepatutnya melakukan kerja lain untuk meningkatkan ekonomi negara.