Dong Zong tak rasis, Dr M 'tiada niat' nak haramkan
  • 5 years ago
DAP menyuarakan sokongannya terhadap Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Ini di tengah-tengah isu pengenalan khat tulisan Jawi dalam sukatan pelajaran darjah empat di sekolah vernakular Cina dan Tamil.

DAP berkata Dong Zong bukan organisasi bersifat perkauman walaupun dituduh sebaliknya, selain terdapat desakan supaya kumpulan pendidikan Cina itu diharamkan.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata parti itu tidak bersetuju dengan dakwaan Dong Zong adalah rasis dan mempertahankan hak Dong Zong untuk menyatakan pandangannya.

"Dalam memenuhi peranannya untuk melindungi pendidikan Cina, Dong Zong telah mengundang kritikan dan kecaman, tetapi Dong Zong tidak pernah mengancam hak dan keselamatan rakyat Malaysia yang lain.

"Sebaliknya Dong Zong menghormati kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan, manakala bahasa lain boleh diajar dan dipelajari secara bebas," katanya sambil memetik Perkara 152 (1) (a) dan 152 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menjelaskan walaupun orang mempunyai hak demokratik untuk membantah atau menentang pandangan Dong Zong, ini tidak termasuk ancaman hukuman atau kecederaan terhadap mereka yang mempunyai pendapat berbeza.

"Atas sebab ini, DAP sangat tidak bersetuju dengan sebarang cadangan untuk mengharamkan Dong Zong," katanya.

Dong Zong membantah rancangan kerajaan untuk memperkenalkan pelajaran khat tulisan Jawi sepanjang tiga halaman dalam sukatan pelajaran darjah empat Bahasa Malaysia, dengan alasan ia merupakan satu bentuk "Islamisasi".

Sebagai tindak balas, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menuduh Dong Zong sebagai rasis, dakwaan yang dinafikan pertubuhan itu.

Sementara itu, beberapa kumpulan termasuk Pemuda Bersatu (Armada) telah melancarkan petisyen menuntut Dong Zong diharamkan.

Mahathir, yang juga pengerusi PH berkata terserah pihak polis untuk memutuskan sekiranya mahu mengharamkan Dong Zong atau tidak.

“Jika ia terus memainkan isu atau menghasut rakyat untuk bergaduh antara satu sama lain, sudah tentu ia bercanggah dengan undang-undang,” katanya pada pemberita di KLIA hari ini.

"Kami (perlu) sentiasa sensitif supaya tidak menghasut masyarakat berbilang kaum untuk bergaduh antara satu sama lain,” katanya

Walau bagaimanapun, Lim mendakwa Mahathir tidak berhasrat mengharamkan Dong Zong.

Menteri kewangan berkata sejak Mahathir menjadi perdana menteri sekali lagi, beliau telah menggunakan pendekatan terbuka terhadap kebebasan bersuara selagi tiada yang diancam dengan hukuman, gangguan ketenteraman awam, kecederaan, atau kesakitan akibat penipuan.

"Mahathir bahkan memberi arahan bahawa tiada yang perlu ditangkap atau didakwa kerana mengkritiknya sebagai perdana menteri, tidak seperti amalan perdana menteri sebelum ini.

"Oleh itu, DAP percaya bahawa perdana menteri tidak mempunyai niat untuk mengharamkan Dong Zong," katanya.