Salah bagi Dr M gelar Dong Zong rasis, kata Kit Siang
  • 5 years ago
Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata perdana menteri adalah salah apabila menggelarkan pertubuhan pendidikan Cina, Dong Zong sebagai rasis.

Bagaimanapun katanya Dong Zong juga salah apabila mendakwa pembelajaran tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia bagi tahun 4 di Sekolah Cina dan Tamil sebagai permulaan Islamisasi.

"Perdana Menteri Dr Mahathir Mohammad salah menggelarkan Dong Zong sebagai "rasis", tetapi Dong Zong juga tidak betul apabila mendakwa pembelajaran tulisan khat bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia tahun 4 di Sekolah Cina / Tamil bermula tahun 2020 sebagai permulaan Islamisasi," katanya dalam satu kenyataan.

Anggota Parlimen Iskandar Puteri itu juga berkata terdapat 'teori konspirasi' bahawa isu yang menjadi kontroversi itu dicipta oleh Menteri Pendidikan Maszlee Malik atau perdana menteri bagi tujuan politik tertentu.

"Namun sebenarnya, kontroversi subjek itu adalah warisan dari kerajaan lama kerana keputusan muktamad mengenai buku teks baru untuk sekolah rendah Cina / Tamil untuk memperkenalkan subjek khat untuk murid-murid Tahun Empat pada tahun 2020 telah dibuat oleh Jawatankuasa Kurikulum Kementerian Pendidikan yang dipengerusikan oleh menteri pendidikan dan dua timbalan menteri pendidikan dalam satu mesyuarat pada 30 September 2015.

"Timbalan Menteri Pelajaran Teo hanya tahu tentang perkara itu ketika kontroversi itu meletup bulan lalu," tambahnya.

Semalam Dr Mahathir menyifatkan Dong Zong sebagai “rasis” kerana mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah sebagai satu bentuk "Islamisasi".

“Dong Zong ini rasis. (Dahulu) kita buat sekolah satu kampus – Sekolah Wawasan – sekolah Cina, sekolah Tamil, dan sekolah kebangsaan di dalam satu kampus.

“Dia tak mahu (kerana) takut anak dia konon bercampur dengan orang Melayu. Jadi dia (Dong Zong) tak suka orang Melayu.

“Semua dia bantah. Tak pernah setuju dia dengan apa-apa pun (keputusan kerajaan),” kata Maahthir kepada media dalam satu majlis ramah mesra di Langkawi.

Katanya sekiranya tiada perubahan kerajaan pada 9 Mei 2018, subjek itu mungkin diwajibkan dan dimasukkan dalam peperiksaan di tiga jenis sekolah iaitu sekolah kebangsaan dan sekolah kebangsaan jenis Cina dan Tamil.