Selepas Paus Orca, Paus Pilot Sirip Pendek pula muncul di Terengganu
  • 5 years ago
Selepas Paus Orca atau Killer Whale, Terengganu sekali lagi menjadi tumpuan apabila sekumpulan Paus Pilot Sirip Pendek pula ditemui muncul buat pertama kali di perairan negeri ini, pada Rabu lepas.

Ketua Cawangan Mamalia Marin, Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata kumpulan paus itu ditemui berenang berhampiran Pulau Perhentian di perairan Besut dengan anggaran jarak dari pantai sejauh 30 kilometer dan kedalaman air antara 30 dan 35 meter.

"Kejadian itu sempat dirakam beberapa nelayan yang sedang memancing menerusi satu video yang berdurasi 39 saat.

"Daripada rakaman dan percakapan nelayan itu, mereka memaklumkan saiz mamalia marin ini sangat besar dan banyak. Saya percaya paus tersebut adalah Paus Pilot Sirip Pendek atau nama saintifiknya Globicephala Macrorhynchus kerana kebiasaannya spesies ini memang sentiasa bergerak dalam kumpulan populasi yang banyak, 10 hingga 50 ekor," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 16 Julai lepas, sepasang Paus Orca muncul buat pertama kali di perairan Terengganu dengan kehadirannya dikesan berhampiran Pelantar Dulang Petronas di perairan Kerteh.

Mohd Tamimi berkata saiz dianggarkan bagi kumpulan Paus Pilot Sirip Pendek adalah antara tiga dan tujuh meter, manakala beratnya 1,000 hingga 3,000 kilogram (kg) untuk dewasa; dan anak haiwan itu, saiznya antara satu dan tiga meter serta beratnya antara 60 dan 500kg.

Mengikut rekod terdapat di FRI Rantau Abang, paus spesies itu tidak pernah melalui perairan Terengganu dan tarikh 24 Julai 2019 adalah hari bersejarah yang mencatat kemunculan pertama paus tersebut.

Beliau berkata kali terakhir Paus Pilot Sirip Pendek itu pernah direkodkan ialah di Sarawak pada 2013 dan terdampar mati di Labuan pada 2015.

Menurutnya, paus spesies itu merupakan pemangsa dalam rantaian pemakanan di ekosistem lautan dan kebiasaannya ia memburu dan memakan ikan, sotong, penyu, burung laut dan lain-lain.

"Ada kalanya ia juga memakan sampah sarap dan plastik bertaburan di lautan kerana terdapat beberapa kes paus ini ditemui terdampar sakit dan mati di luar negara.

"Populasi Paus Pilot Sirip Pendek ini hidup di serata lautan di dunia dengan habitat digemari di kawasan laut tidak terlalu cetek, jauh dari pesisir pantai, laut sedikit panas serta mempunyai kepadatan makanan seperti sotong yang banyak...mungkin sebab itu, ia melalui perairan Terengganu kerana banyak sotong ketika ini dan menjadikan Laut China Selatan sebagai sebahagian laluan migrasinya,” kata beliau.

Beliau memberi contoh, seperti di perairan California, Amerika Syarikat, yang populasi paus itu sangat banyak ditemui ketika musim sotong, namun tidak akan kelihatan dan bermigrasi mencari tempat baharu sebaik sahaja musim sotong berkurangan di perairan tersebut.

Paus Pilot Sirip Pendek itu mula menjadi terancam dan hampir pupus kerana kebanyakan nelayan di beberapa negara seperti Jepun, Amerika, Filipina, China, Taiwan, dan Vietnam menjadikan spesies itu sebahagian diet mereka