Rombakan kabinet? Ini jawab Dr M

  • 5 years ago
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menolak khabar angin bahawa suatu gambar diambil semalam yang memaparkan seluruh jemaah menteri menandakan akan berlaku rombakan kabinet tidak lama lagi.

Sebaliknya, kata beliau gambar itu diambil sebelum mesyuarat mingguan di Pejabat Perdana Menteri bagi menandakan pertemuan yang jarang-jarang berlaku apabila semua menteri hadir tanpa pengecualian.

"Semalam merupakan salah satu masa ketika mana semua anggota jemaah menteri hadir.

"Jadi kami mahu ambil gambar semua anggota kabinet," kata Mahathir kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Perhimpunan Agung Khas Bersatu di Serdang pada Sabtu.

Ketika ditanya sekiranya rombakan kabinet akan berlaku, Mahathir menjawab: "Apa cadangan kamu? Saya mendengar suara rakyat," katanya.