Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus bincang fungsi, kekangan PSC, PAC
  • 5 years ago
Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus akan mengadakan pertemuan dengan semua Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi membincangkan fungsi dan kekangan yang dihadapi mereka.

Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menerima maklum balas daripada beberapa pengerusi jawatankuasa berkenaan yang berdepan masalah dalam menjalankan tugas mereka.

“Kita dapat input daripada pengerusi jawatankuasa pilihan khas bahawa mereka kadang-kadang ada kesukaran mengundang pegawai kanan untuk beri taklimat, atau kuasa Parlimen itu sangat terbatas, tidak seperti yang dijanjikan.

“Kita akan mengundang semua pengerusi minggu depan, kita bincang masalah mereka dan akan kemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat supaya perkara ini dapat ditangani,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus di bangunan Parlimen, hari ini.