Pembangunan Pasir Gudang tidak lestari, Kementarian beri cadangan
  • 5 years ago
Ketika ini Pasir Gudang mempunyai 2,005 kilang berlesen dan 250 daripadanya berasaskan bahan kimia.

Beliau berkata, MESTECC telah mengambil langkah segera untuk melupuskan faktor penyumbang kepada kehadiran semua gas berkenaan, selain meneruskan usaha penguatkuasaan dan pemantauan ke atas kilang-kilang berasaskan bahan kimia di sekitar Pasir Gudang.

Secara amnya, katanya, pembangunan Pasir Gudang yang tidak lestari memberi kesan jangka panjang yang negatif terhadap alam sekitar.

“Kepesatan pembangunan dan kepadatan industri kimia yang tinggi di Pasir Gudang menjadi penyumbang utama kepada impak ‘loading capacity’ persekitaran termasuk udara, tanah dan sungai.

“Pembangunan tidak lestari ini menyebabkan alam sekitar menjadi tepu dengan pelbagai gas atau wap yang terampai di udara, pelepasan afluen yang tidak dikawal rapi di perparitan dan saliran, sekali gus menyebabkan persekitaran tidak stabil dan amat sensitif.

“Pembangunan Pasir Gudang yang tidak lestari juga menyebabkan ketiadaan zon penampan (buffer zone) antara industri berasaskan bahan kimia dengan kawasan sekolah, perumahan dan pusat aktiviti masyarakat, sekali gus mendedahkan penduduk kepada risiko bencana kimia,” katanya.

Mengulas lanjut, Bee Yin berkata, ketiadaan zon penampan menyebabkan terdapat sekolah yang kedudukannya amat dekat dengan kilang terbabit.

Sehubungan itu, beliau berkata, MESTECC memandang serius isu kelestarian di Pasir Gudang dan mengambil beberapa langkah segera.