'Mereka rampas kekayaan, kita diminta senyum dan bantu mereka rompak'
  • 5 years ago
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata sememangnya menjadi harapan beliau bahawa rakyat Malaysia terutama generasi muda dapat melihat dan menyedari mengapa negara bangun menentang penjajahan dan berjuang menuntut kemerdekaan.

"Saya bernasib baik, atau mungkin tidak bernasib baik, untuk menyaksikan bagaimana rakyat kita diberi layanan buruk dan dikenakan pelbagai bentuk penghinaan oleh penjajah.

"Mereka mencerobohi rumah kita dan memberitahu kita supaya berkelakuan baik dan menyuruh kita melakukan perkara untuk faedah mereka. Kita terpaksa membiarkan mereka berfikir untuk mereka.

"Mereka merampas kekayaan kita dan kita diminta senyum sahaja dan membantu mereka merompak,” kata beliau tanpa nada berlembut.

Dr Mahathir menyifatkan rakyat Malaysia sekarang bernasib baik sambil berkata : "Saya benar-benar berharap rakyat Malaysia tidak sekali lagi akan mengalami penghinaan ini. Tetapi kemerdekaan bukan sesuatu yang diberi. Anda perlu berusaha untuknya, pertahan memupuknya."

Beliau berkata demikian pada “My Voice My Nation Malaysia 2019' yang berlangsung di Axiata Arena di Bukit Jalil malam tadi.