PKR WP lapor polis terhadap penulis 'Mengapa Anwar tak boleh jadi PM'
  • 5 years ago
Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Zahir Hassan membuat laporan polis terhadap penulis manuskrip 'Mengapa Anwar Tak boleh Jadi PM' , Yahaya Ismail.

Laporan itu dibuat di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

"Laporan ini dibuat terhadap Yahaya yang bagi saya telah memeras ugut Anwar Ibrahim sebanyak RM400,000. Jika Anwar enggan berbuat demikian, buku itu akan diterbitkan kepada umum.

"Laporan dibuat agar polis mengambil tindakan sewajarnya. Satu berkenaan ugutan dan (kedua) mencemarkan institusi Raja-raja Melayu," katanya dalam sidang media yang disiarkan di Facebooknya.

Zahir mendakwa Yahaya mempersoalkan pengampunan diraja yang diberi kepada Anwar menerusi manuskrip itu.

Pada 19 Januari lalu, Anggota Parlimen Sungai Petani Johari Abdul mendedahkan manuskrip itu dan mendakwa Yahaya cuba memeras ugut Anwar.

"Jika Anwar tawarkan harga lebih tinggi (daripada RM400,000 yang ditawarkan pihak lain), dia sanggup untuk beri buku itu kepada Anwar. Jika tidak, dia akan beri kepada individu yang sanggup menerbitkan buku berkenaan," kata Johari

Semalam, Yahaya berkata beliau hanya menawarkan Anwar untuk membeli hak cipta manuskrip tersebut dan tidak perlu berbuat demikian jika tidak berminat.

"Saya terkejut bila Anwar kata saya hendak peras ugut dia minta bayaran RM400,000. Harga itu berdasarkan nilai hak cipta yang bakal dijual kepada pembeli. Kalau dia tak minat, jangan beli. Tak ada apa-apa paksaan sebab hak cipta itu saya punya," katanya.

Beliau juga mendakwa telah menghubungi Johari berkenaan tawaran itu sebelum ini.

Untuk rekod, Anwar pernah dipenjara hampir sedekad untuk tuduhan rasuah dan liwat - pertama kali pada 1998 dan kedua pada 2014.

Beliau menafikan tuduhan itu dan menyifatkan sabitan ke atasnya bermotif politik. Beliau dibebaskan setelah menerima pengampunan diraja sebaik Pakatan Harapan (PH) menang PRU ke-14.