PKR perkemas jentera pilihan raya hadapi PRN Sarawak
  • 5 years ago
PKR sedang memperkemas jentera pilihan rayanya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 yang dijangka diadakan pada hujung tahun depan atau awal 2021.

Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian akan mengepalai jentera parti di negeri itu dan akan dibantu oleh beberapa orang pimpinan pusat iaitu Setiausaha Agung Datuk Seri Saifuddin Nasution dan tiga Naib Presiden Dr Xavier Jayakumar, Tian Chua dan Ali Biju.

"Mereka akan mula sempurnakan tugas secepat mungkin merangka strategi, mengadakan rundingan dengan parti-parti komponen dan persiapkan jentera yang boleh beri satu landasan perjuangan yang berkesan untuk menghadapi pilihan raya negeri Sarawak," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, pada Ahad.

Pada PRN Sarawak ke-11, Barisan Nasional (BN) menguasai 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, manakala DAP menang tujuh kerusi dan PKR menang tiga kerusi iaitu Batu Lintang, Krian dan Ba'kelalan.

KreditVideo: Parti Keadilan Rakyat