Ada aduan staf lantikan politik ganggu tugas penjawat awam - Cuepacs
  • 5 years ago
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memaklumkan pihaknya masih menerima laporan terdapat staf lantikan politik yang mengganggu tugas penjawat awam.

Presiden Cuepacs, Azih Muda ketika mendedahkan hal ini, berkata tindakan tersebut disifatkan sebagai mencampuri urusan perkhidmatan awam.

“Sehingga hari ini kita masih menerima aduan terdapat mereka-mereka yang dilantik dikalangan anggota politik ini telah pun mencampuri urusan (tugas) perkhidmatan awam kita,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, pada Isnin.

Ketika ditanya jumlah laporan yang telah diterima Cuepacs, Azih enggan memberikan butiran lanjut.

Bagaimanapun, Azih berkata menjadi harapan Cuepacs supaya perkara itu tidak berlaku di bawah pentadbiran PH.

“Sempena genap setahun kerajaan PH, harapan Cuepacs supaya gangguan-gangguan oleh mereka-mereka yang berada dalam saf kepimpinan politik ini tidak menggangu tugas penjawat awam, tidak mengambil alih tugas-tugas penjawat awam, tidak menggagalkan tugas kerajaan.

“Kerana kita bimbang dasar yang akan diputuskan oleh kerajaan tidak sampai ke peringkat bawahan, diperingkat pelaksanaan tidak berjalan,” katanya.

Menurut Azih, jika perkara sedemikian masih berterusan, maka Cuepacs berharap penjawat awam tidak akan dipersalahkan jika pelaksanaan dasar menjadi lambat.

“Kerajaan seperti mana yang kita katakan, kerajaan menggubal dasar, sama ada apa dasar sekali pun akhirnya yang akan melaksanakan dasar ini adalah penjawat awam iaitu kakitangan kerajaan.

“Dan kalau ini berlaku, maka proses untuk kerajaan baru kita untuk mencapai sasaran mereka akan menjadi lambat dan kita harap jika ini berlaku janganlah sampai penjawat awam dipersalahkan,” katanya.