Hadi nafi beri restu pada menantu

  • 5 years ago
Presiden PAS Abdul Hadi Awang menegaskan beliau tidak memberi restu kepada menantunya membuat pendedahan mengenai "kartel dedak" seperti yang berlaku sekarang.

Bercakap kepada media di Ampang, Selangor hari ini Abdul Hadi berkata beliau tidak pernah berbuat demikian dan kenyataan dibuat Zaharudin Muhammad di luar pengetahuannya.

“(Saya) restu itu, tak betul... saya tak ada restu,” tegasnya pasda sidang media sebelum majlis berbuka puasa anjuran PAS Pusat di De Palma Ampang pada Isnin.

Anggota Parlimen Marang itu juga berkata, pendedahan "kartel dedak" yang dikisahkan secara bersiri oleh menantunya itu boleh diibaratkan sebagai filem lama yang sengaja ditayangkan semula.

"Itu (isu didedahkan Zaharudin) filem lama yang sudah ditayang, ia sudah selesai.

"Kita anggap perkara itu dah selesai, ia melibatkan disiplin," ujar Abdul Hadi.

Hadir sama dalam sidang media itu Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, tiga naib presiden, Mohd Amar Nik Abdullah, Iskandar Abdul Samad, dan Idris Ahmad, serta setiausaha agung, Takiyuddin Hassan.

Isu "kartel dedak" mula memanas selepas Zaharudin memuat naik siri hantaran di media sosial sejak beberapa hari lalu menceritakan mengenai isu melibatkan beberapa pemimpin kanan PAS.

Sementara itu mengulas isu sama, Takiyuddin berkata Jawatankuasa Disiplin PAS sudah menerima aduan mengenai tindakan yang dipercayai melanggar peraturan parti.