Puasa latih diri tolak perkara tidak baik - Dr M

  • 5 years ago
Ramadan bukan sahaja bulan untuk berpuasa menahan lapar pada siang hari tetapi juga bagi melatih diri supaya berdisiplin untuk mengawal diri daripada dipengaruhi nafsu, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berucap pada perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri yang diadakan pada hari pertama Ramadan 1440H, di sini hari ini, beliau berkata orang yang dapat mengawal nafsu adalah orang yang dipercayai dalam melaksanakan setiap urusan.

Pemimpin berusia 94 tahun itu turut meluahkan rasa syukur kerana masih mampu melaksanakan rukun Islam ketiga itu dan menyifatkan mengawal nafsu adalah latihan seumur hidup.

Dr Mahathir berkata orang yang mengikut nafsu semata-mata, akhirnya membawa keburukan.

Jika rakyat Malaysia kuat menolak nafsu, Dr Mahathir yakin negara ini juga akan dipercayai dan dihormati seluruh dunia.

Dr Mahathir berkata beliau yakin semua umat Islam akan faham tujuan puasa, bukan semata-mata untuk mendapat pahala tetapi akan menjadikan orang Islam itu manusia yang baik dan boleh dipercayai.

Bagi orang bukan Islam, katanya sudah tentu mereka tahu sebab-sebab umat Islam berpuasa kerana mereka juga mempunyai amalan berpuasa yang berlainan.