TERKINI : Jangan Aib Orang Ketika Serbuan Khalwat - Mujahid
  • 5 years ago
KUALA LUMPUR - Penglibatan media antara operasi standard (SOP) penguatkuasa agama yang akan dikaji semula dalam serbuan khalwat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata, ini kerana SOP ketika ini tidak sempurna dan terdapat unsur salah guna kuasa.

“SOP ketika ini tidak sempurna dan saya mahu penambahbaikan.

“Antara yang akak dikaji membawa media ketika serbuan sebab kita kata prinsip jangan mengintip, jangan mengaibkan orang.

“Perkara itu antara kita nak baiki,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Seminar Menteri
Rahmatan Lil Alamin di Malaysia di Universiti Malaya di sini malam tadi.

Beliau ditanya sama ada penglibatan media antara SOP baharu penguatkuasa agama ketika serbuan khalwat.

Ketika ditanya adakah jumlah kesalahan pelanggaran SOP serbuan begitu tinggi sehingga perlu penambahbaikan, Mujahid menjelaskan pihaknya tidak mempunyai statistik tetapi menerima banyak aduan selama ini.

“Ketika ini di Facebook ada kes ditimbul oleh pasangan sudah kahwin tetapi pihak berkuasa rempuh masuk juga. Kes ini memang berlaku.

“Sebab itu saya tidak faham bila kita hendak perbaiki, ada yang menganggap kita nak biar orang berkhalwat,” katanya.

Mujahid juga memberitahu satu pertemuan membincangkan isu serbuan khalwat dengan para ulama akan diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya malam ini.

Sebelum ini, Mujahid berkata pelaksanaan dan tatacara hukuman syariah bagi pencegahan khalwat hanya boleh dilakukan selepas proses nasihat, aduan dan bukti kukuh dibuat.

Katanya, pelaksanaan hukum jenayah syariah perlu mempunyai bukti kukuh sebelum tindakan pencegahan boleh dibuat oleh pihak berkuasa.

“Bila kita mahu kuatkuasakan sesuatu, kena pastikan sama ada ia berlaku dalam ruangan awam atau ruang peribadi. Jika anda nampak jiran anda membuat sesuatu yang tidak baik, maka tanggungjawab anda sebagai jiran ialah menasihati orang itu.

“Jika perkara yang berlaku dalam ruang peribadi melibatkan orang awam, seperti masyarakat mengesyaki sesuatu yang mencurigakan dan mereka membuat aduan, maka di situlah SOP mula berjalan.”

Sebelum ini, Mujahid berkata SOP bagi penguatkuasaan aktiviti khalwat akan ditambah baik apabila penguatkuasa perlu mengikut prosedur yang ketat sebelum melakukan serbuan.

"Bukan setakat dapat maklumat dan terus serbu. Kena ingat, sekarang pun kita memang ada SOP.

"Kita sedang mengkaji untuk menambah baik agar isu penguatkuasaan perlu ada bukti kukuh. Juga harus ada alasan yang baik sama ada ia akan menjejaskan atau mengganggu ruang awam," katanya dalam sidang media, baru- baru ini.

Menurut Mujahid, SOP sedia ada juga telah menetapkan bahawa sebarang serbuan perlu mempunyai bukti kukuh sebelum dilakukan. - MalaysiaGazette

MalaysiaGazette.com - Online News / Portal - Follow US Now! Or visit www.malaysiagazette.com for the latest news on politics, economy, fashion, travel, lifestyle and more www.malaysiagazette.com
Recommended