PAS "TIADA BOLA PING PONG ATAU BOLA TENNIS" DI BAGAN DATUK
  • 5 years ago
BAGAN DATUK - Calon Pas untuk Parlimen Bagan Datuk, Ata Abdul Muneim Hasan Adli berkeyakinan mampu memberikan saingan kepada penyandang kerusi itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, laluan bagi partinya tidak mudah namun tidak mustahil untuk mencipta kemenangan buat kali pertama buat Pas di kawasan itu.

"Ramai wartawan yang bertanya, dan jawapan saya sama sahaja kemenangan di sini bukan mudah tapi tidak mustahil. Itu pendirian Pas.

"Pastinya bukan jalan yang mudah buat kami, tahu sahajalah ini kerusi Timbalan Perdana Menteri. Dia ada sumber dan peruntukan khas," katanya selepas membuat lawatan di sekitar kawasan itu hari ini.

Ata Abdul Muneim antara dua lagi pencabar Ahmad Zahid di kerusi itu selain Pakhrurrazi Asrhad dari PKR.

Ujarnya lagi, penerimaan kepada budaya politik matang dan sejahtera yang dipamerkan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu membolehkan Pas diterima ramai.

"Pas kini mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera, ada orang kata Pas kini berlembut dengan UMNO.

"Orang kini lebih terbuka dan banyak ilmu. Isu yang panas kini sudah reda, masyarakat semakin matang," katanya lagi. -MalaysiaGazette

MalaysiaGazette.com - Online News / Portal - Follow US Now! Or visit www.malaysiagazette.com for the latest news on politics, economy, fashion, travel, lifestyle and more www.malaysiagazette.com